Essay:

Essay details:

  • Subject area(s): Business
  • Price: Free download
  • Published on: 21st September 2019
  • File format: Text
  • Number of pages: 2

Text preview of this essay:

This page is a preview - download the full version of this essay above.

ISI KANDUNGAN

PERKARA

MUKA SURAT

1.0 PENDAHULUAN

2.0 SEJARAH KEMUNCULAN ISLAM LIBERAL

3.0 BENTUK  FAHAMAN DAN PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL

3.1 Bersifat Sekularisme

3.2

4.0 CADANGAN MENGATASI PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL

5.0 PENUTUP

BIBLIOGRAFI

CABARAN UMAT ISLAM DALAM ERA MODEN:

PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL

1.0 PENDAHULUAN

Dewasa kini, umat Islam, termasuk di Malaysia sedang berhadapan dengan berbagai - bagai ancaman yang boleh mengelincirkan mereka kepada kesesatan dan kerosakan akidah yang terpaksa diharungi dalam mengejar nama kemajuan pada era globalisasi kini. Berbagai-bagai pertubuhan atau persatuan yang bernaung di atas nama Islam dan sebagainya muncul dengan begitu banyak bagai cendawan tumbuh selepas hujan dan mempunyai pemahaman dan pemikiran yang berbeza-beza.

Hal ini menyebabkan umat Islam kian terdedah kepada bahaya pemikiran dan pemahaman salah yang mana akhirnya akan menjerumuskan mereka ke dalam golongan berfahaman salah tersebut.Persoalan mengenai fahaman yang cuba dikaitkan dengan Islam seperti Islam Liberal ini sebenarnya merupakan salah satu dariapada bentuk serangan yang secara tidak langsung dilakukan bagi meruntuhkan pegangan akidah umat Islam yang boleh memberi kesan kepada keruntuhan agama Islam itu sendiri. Bentuk-bentuk serangan yang secara tidak langsung dilakukan bagi meruntuhkan pegangan agama masyarakat Islam yang boleh memberi kesan kepada keruntuhan Islam itu sendiri (Mohd Roslan, 2011).

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2015) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan tentang aliran pemikiran liberal, hukum dan implikasinya terhadap Islam di Malaysia. Berdasarkan persidangan tersebut muzakarah telah memutuskan bahawa Gerakan Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam kerana mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.

Walaupun  Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan tentang pengharaman Gerakan Pemikiran Liberal ini, ia sebenarnya masih lagi menjadi satu ancaman dan cabaran kepada umat Islam sama ada di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Hal ini kerana terdapat beberapa ciri-ciri Gerakan Pemikiran Liberal ini yang menjadi daya penarik kepada masyarakat Islam pada hari ini. Serangan pemikiran yang berjenamakan Islam seperti Islam Liberal ini amat payah untuk dikenalpasti kerana aliran pemikiran ini juga menggunakan hujah yang disandarkan kepada ayat-ayat Al-Quran, Hadis, ulama’ Islam, penggunaan istilah-istilah Islam, dipelopori oleh tokoh-tokoh yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam dan muncul di negara-negara Islam. Pemikiran Islam Liberal merupakan satu bentuk pemikiran yang sering kali meletakkan prinsip kebebasan dan keterbukaan dalam segenap aspek kehidupan sehingga kadang kala melangkaui batasan syariah dan hukum-hakam yang telah termaktub dalam agama Islam sendiri. Kelompok pemikiran ini seringkali kelihatan cukup terkehadapan dalam memperjuangkan isu-isu wanita serta hak asasi kemanusiaan (Wan Ismail W Dagang, Mohd Nasir Masroom, Ahmad Syukran Baharuddin, dan Mohd Ismail Mustari, 2015)

Oleh itu, bagi memastikan kekuatan akidah umat Islam pada hari ini tidak tergelincir, semua umat Islam haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup dalam memahami aliran pemikiran-pemikiran baru terutamanya yang bertopengkan Islam. Cabaran-cabaran tersebut perlulah ditangani dengan sebaiknya supaya ia dapat diselesaikan dengan baik dan tidak menjadi barah dalam kehidupan masyarakat.

2.0 SEJARAH KEMUNCULAN ISLAM LIBERAL

Dari sudut terminologi, perkataan “Liberal” merupakan istilah Inggeris yang dipinjam dari bahasa Latin, “Liber” ataupun  free yang bermaksud bebas, liberal, berpandangan terbuka, tidak dibelenggu oleh mana-mana tradisi, adat, aliran pemikiran ataupun agama. Manakala “Liberalisme” pula merujuk kepada pandangan dan prinsip yang liberal terutama dari sudut sosial dan politik. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP. Kuala Lumpur 1994), perkataan Liberal didefinisikan sebagai “1. (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan, (fahaman) bebas. 2. bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka iaitu tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya. Fahaman ini diaspirasikan oleh gerakan liberalisme Barat yang memperjuangkan kebebasan dan hak-hak individu dalam pelbagai bidang kehidupan. Menurut pemikiran barat, liberalisme  terbahagi kepada dua pendekatan iaitu pendekatan liberalism klasik dan pendekatan liberalism  moden. Pendekatan klasik telah didokong seorang tokoh pemikiran barat iaitu John Lock. Beliau berpendapat bahawa liberalism klasik berpegang pada hukum alam, menurutnya tuhan memberikan kebebasan kepada manusia untuk menafsirkan hukum Tuhan dengan akal dan pancaindera. Liberalisme moden yang didokong oleh Jeremy Bentham dan Mill pula berpendapat bahawa aliran budaya liberalism yang melihat bahawa pemerintah atau masyarakat tidak berhak membatasi segala tindakan individu, selagi tidak membahayakan atau merosakkan. Antara isu utama yang diketengahkan oleh mereka adalah seperti pemisahan antara agama dan negara (sekularisme), demokrasi, hak-hak kaum wanita dan golongan minoriti, kebebasan berfikir dan gagasan tentang kemajuan. Menurut tulisan Hj.Mohammad Ariffin bin Ismail (t.t) Islam liberal pada mulanya diperkenalkan oleh buku “Liberal Islam:  A Source Book” yang ditulis oleh Charles Kuzman (London, Oxford University Press, 1988) dan buku “Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies” yang ditulis oleh Leonard Binder (Chicago, University of Chicago Press, 1998). Walaupun buku ini terbitan tahun 1998, tetapi idea yang mendokong liberalisasi telah muncul terlebih dahulu seperti gerakan modernisasi Islam, gerakan sekularisasi dan sebagainya. Oleh sebab itu walaupun Jaringan Islam Liberal di Indonesia bermula awal tahun 2001, tetapi idea-idea Islam Liberal di Indonesia sudah ada sejak tahun 1970 dengan munculnya idea sekularisasi dan modernisasi Islam yang dibawa oleh Nurkholis Majid, Harun Nasution, Mukti Ali, dankawan- kawannya (blebih lanjut rujuk buku 50 Tokoh Islam Liberal di Indonesia, Budi Handrianto, Jakarta ,2007)

Kemunculan pemikiran diperingkat permulaan adalah sebagai falsafah politik Barat yang kemudiannya memasuki aspek seperti sosial, politik, ekonomi dan sosial. Pemikiran ini terus berkembang sehingga berlakunya proses liberalisasi dalam agama Kristian pada zaman Renaissance sekitar abad ke-16 dan ke-17 Masihi. Pemikiran liberal ini terus bersemarak apabila institusi gereja dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan hidup. Maka bergeraklah pemikiran liberalisme dalam agama yang mempercayai bahawa masyarakat harus dibebaskan daripada tradisinya dan mulai daripada itu pemikiran liberal ini terus berkembang dan terus bertapak sebagai satu gerakan intelektual yang berusaha melunturkan segala sistem kepercayaan dan struktur sosial yang diterima pakai selama ini. Di samping itu, dunia Islam juga tidak terlepas daripada pengaruh pemikiran liberal ini melalui beberapa tokoh cendekiawan Islam di Timur Tengah pada abad ke-20.

Gerakan liberalisme merupakan pengaruh daripada falsafah liberalisme yang berkembang di negara Barat yang telah masuk ke dalam struktur pemikiran yang merangkumi hampir seluruh aspek kehidupan manusia terutama melibatkan aspek sosial, budaya, politik, pendidikan, ekonomi dan agama. Islam Liberal adalah satu fahaman sesat yang berpunca daripada sifat tidak yakin diri, merasa rendah diri (inferiority complex) dan mengagung-agungkan gaya pemikiran Barat oleh  segolongan orang Islam.

Oleh itu, golongan yang mengaku menganut fahaman Islam Liberal merupakan  golongan yang tidak terikat dengan mana-mana pandangan dan pendapat serta aliran pemikiran. Selain itu, mereka ini juga akan mempraktikkan Islam itu dengan pandangan dan pendapat serta pemikiran yang terbuka dengan tidak merujuk kepada mana-mana ulama. Secara ringkasnya juga golongan ini boleh disebut sebagai golongan yang bersifat bebas dalam apa juga hal yang berkaitan dengan Islam.

Bahayanya golongan Islam Liberal ini adalah kerana mreka tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama tetapi mereka berselindung di sebalik gagasan yang mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula syariat dan hukum- hukum fikah. Mereka bahkan menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulama, termasuk tafsiran daripada Rasulullah dan sahabat serta ulama mujtahid. Mereka juga menganggap agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa mestipun dan jika terdapat hukum yang tidak menepati hak-hak asasi manusia dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan. Pemikiran ini telah menyelinap masuk dan tidak terkecuali kepada para intelektual yang rata-ratanya terdiri dari lulusan agama, pengamal undang-undang dan cendekiawan apabila golongan ini cuba mengubah konsep di dalam ajaran Islam itu sendiri.

3.0 BENTUK  FAHAMAN DAN PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL

“Pada akhir zaman akan muncul sebilangan orang yang berusia muda dan jelek budi pekertinya. Mereka berkata-kata dengan menggunakan firman Allah, padahal mereka telah keluar dari Islam seperti melesatnya anak panah dari busurnya. Iman mereka tidak melewati tenggorokannya. Di mana pun kalian menjumpai mereka, maka bunuhlah mereka. Karena sesungguhnya orang yang membunuh mereka akan mendapatkan pahala di Hari Kiamat.” (HR. Bukhari)

Dalam menghadapi dunia moden terdapat segelintir golongan dalam kalangan agama yang cuba untuk menafsirkan nas-nas agama masing-masing agar kelihatan serasi dengan perubahan zaman dan ideologi mereka sehingga terdapat sebahagian tafsiran daripada mereka telah meruntuhkan maksud sebenar yang terkandung di dalamnya. Golongan Islam Liberal ini mempunyai berbagai-bagai fahaman dan pemikiran yang menjadi dasar kepada perjuangan golongan tersebut dan ia juga turut disebarkan kepada masyarakat dengan tujuan mempengaruhi masyarakat supaya sama-sama membela dan mendokongi perjuangan golongan tersebut. Kesan dan keburukan yang lahir daripada pemahaman dan pemikiran golongan tersebut amatlah merbahaya dan boleh menjejas serta merosakkan akidah umat Islam itu sendiri kerana pemikiran dan fahaman mereka telah jelas menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.

3.1 Bersifat Sekularisme

Golongan ini mengembangkan fahaman sekularisme barat ke dalam kehidupan masyarakat Islam . Menurut mereka fahaman tersebut adalah fahaman ‘bebas’ yang tidak menyekat atau mengongkong kebebasan umat Islam untuk melakukan apa sahaja sehingga sanggup mempertikaikan hukum Allah S.W.T dan perintah Rasul-Nya. Pemikiran Islam Liberal juga lebih berasaskan kepada pemikiran rasionalisme dan sekularisme sehingga menafikan kesempurnaan dan kesyumulan Islam. Pemikiran ini jelas dipengaruhi oleh gagasan pemikiran sekular sehingga melontarkan pandangan bahawa agama Islam hanyalah sebagai tuntunan pelaksanaan ibadah sahaja bukan untuk menguruskan dan pentadbirkan dunia ini. Pemikiran mereka secara terang-terangan mendakwa bahawa syari’at Islam tidak lagi sesuai dan ditolak untuk mengatur kehidupan manusia hari ini. Agama Islam disingkirkan dari sebahagian besar kehidupan dan dilihat semata-mata melibatkan ibadah ritual sahaja. Bahkan agama dianggap sebagai rantai pengikat yang membelenggu kebebasan dalam kehidupan (Hartono Ahmad Jaiz, 2002).

Sejarah telah mencatatkan bahawa sekularisme barat telah menyerang dunia Islam dari berbagai-bagai sudut kehidupan. Mereka memasukkan fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam atas nama kemodenan dan perkembangan atau peredaran zaman. Golongan ini menamakan diri mereka sebagai Mustacmir iaitu golongan yang mendakwa bahawa mereka membawa perubahan kepada bumi yang dijajah dengan cara memakmurkannya dengan membawa masuk berbagai-bagai perubahan atas nama kemakmuran.Tujuan dan strategi mereka tidak lain hanya ingin mengaburi mata dan fikiran masyarakat dengan menganggap bahawa apa yang dibawa adalah untuk kebaikan bersama. Akhirnya , masyarakat akan terpikat dengan pahaman mereka dan  mula mengagumi serta menyanjung segala budaya dan pemikiran mereka.

Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

 Aspek Akidah

i. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

Pluralisme agama mendakwa bahawa semua agama adalah bersifat relatif. Justeru, tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak. Mereka menganggap semua agama mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di akhirat.

ii. Akal Manusia Adalah Wahyu

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis merujuk kepada Al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis pula adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks Al-Quran mengikut tujuan dan konteks suasana zaman.

iii. Meragui Ketulenan Al-Quran

Aliran pemikiran ini juga mendakwa Al-Quran telah diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab yang menjadi pemilik bahasa itu tambahan pula katanya Nabi Muhammad S.A.W. yang menjadi pembawa risalah juga terdiri daripada golongan  orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan Al-Quran adalah tidak betul dan ianya hanyalah mesej dan budaya dari Arab.

Aspek Syariah:

i. Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran Al-Quran Dan Al-Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran Al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran Al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran Al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Misalnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan ia hanyalah kesan psikologi hasil daripada kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat pula ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

ii. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang kepada falsafah ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran Al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks Al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

iii. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis telah mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah S.A.W. dengan mengatakan bahawa tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru itu, sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj pula dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

iv. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai kaedah dalam displin ilmu tetapi telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

v. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu dengan mengambil tujuan hukum bukan membentuk hukum.

4.0 CADANGAN MENGATASI PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL

Pemikiran Islam Liberal sangat berbahaya kepada umat Islam masa kini. Oleh itu, demi menyelamatkan kesucian akidah dan syariat orang Islam terutama dalam kalangan generasi muda akan mewarisi masa hadapan Islam dan umatnya semua pihak perlulah berganding bahu dalam menangani cabaran ini.

Golongan yang menjadikan aliran pemikiran ini sebagai ikutan dan amalan dalam kehidupan hendaklah ditangani dengan sebaiknya. Setiap usaha yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan objektif dan secara terbuka bagi menggalakkan golongan aliran pemikiran ini terkesan dengan usaha yang dilakukan. Seperti kita sedia maklum Islam Liberal merupakan satu aliran pemikiran yang mengkehendaki kepada keterbukaan dalam berijtihad yang melampaui batas-batas agama yang telah sedia ada sepertimana di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, idea-idea provokatif liberal Islam semestinya perlu disanggah dengan menggunakan manhaj pemikiran islam yang muktabar. Usaha untuk mencanggah provokasi dan keterbukaan perlulah sentiasa mengikut dan berpandukan kepada ajaran yang telah dibawa oleh agama islam.

Peruntukan perlembagaan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama rasmi hendaklah dipertahankan, direalisasikan dan diterjemahkan dengan cara yang lebih nyata dan bermakna dengan mendaulatkan syariatnya, menguatkuasakan undang-undang, menerapkan nilai-nilai murninya dan memperkasakan institusi-institusinya. Sehubungan dengan itu hak dan kewajipan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkan Islam secara utuh dan murni sebagai cara hidup hendaklah sentiasa dilindungi daripada sebarang gangguan mana-mana pihak.

Pemerintah di negara-negara Islam perlu bertindak dengan tegas untuk menghalang penyebaran pemikiran Islam Liberal ini samada melalui pendidikan, penerangan dan perundangan. Gerakan Islam dan NGO-NGO Islam perlu mengambil langkah drastik dengan  menyekat faham ini melalui dakwah yang syamul dan tindakan-tindakan susulan yang lebih berkesan. Di samping itu juga, umat Islam perlu sentiasa melengkapkan diri mereka dengan kefahaman Islam tulen lagi mantap dengan sumber rujukan yang muktabar. Menurut (Muhamad Faiz Ismail, Ab. Halim Tamur dan Kamarul Azmi Jasmi, 2012) pihak berwajib seperti JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, NGO Islam, cendekiawan Islam dan masyarakat perlu bergabung tenaga dalam usaha menangkis dan membongkar penyelewengan golongan Islam Liberal. Institusi ulama’ perlu diperkasakan agar mampu berperanan melawan arus liberalisasi. Tindakan yang terancang dan sistematik perlu dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh untuk menyekat penularan fahaman ini daripada menjadi barah kepada umat Islam di Malaysia.

Selain itu, institusi dahwah Islam wajar dinilai dan dikaji semula dari segi objektif dan matlamatnya, pendekatan serta teknik dakwahnya, media atau peralatan dakwahnya dan juga golongan sasarannya bagi memastikan keberkesanan kejayaan peranannya. Bilangan pendakwah perlu ditambah dan mereka diberikan latihan sewajarnya supaya mereka dapat menghadapi masyarakat dengan penuh hikmah dan bijaksana dalam memberikan bimbingan dan pendidikan agama (Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, 2007)

Di samping itu, dari aspek individu pula, setiap orang hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mempelajari, memahami dan seterusnya menguasai manhaj ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama islam khususnya secara komprehensif dan menyeluruh. Hal ini adalah bertujuan untuk membolehkan setiap individu mampu untuk memikirkan dan mengetahui tentang sesuatu perkara secara terperinci sebelum membuat keputusan dan rumusan berkaitan dengan pemikiran yang baru serta bersikap kritis dan objektif apabila menceritakan tentang islam liberal. Dalam era yang semakin mencabar di tambah pula dengan kemajuan teknologi kini, umat Islam perlulah sentiasa memastikan bahawa ilmu yang diperolehi adalah dirujuk dari golongan yang pakar. Ini kerana ilmu tentang Islam tidak boleh dipelajari melainkan dari orang yang meyakininya dan benar-benar mengetahuinya dari sumbernya yang soheh iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Imam Ibnu Sirin pernah menyebut:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

 “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Oleh itu, hendaklah kamu perhatikan dari siapa kamu mengambil agama kamu”. (Riwayat Imam Muslim)

5.0 PENUTUP

Tuntasnya, cabaran umat Islam dulu kini dan akan datang akan sentiasa menjadi polimik yang berterusan. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah (2:120) yang bermaksud “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.

Dalam era globalisasi kini, tidak dinafikan bahawa umat Islam sedang bertungkus lumus untuk mencapai kemajuan material dan dalam pada masa yang sama berusaha untuk menjadi umat Islam yang berkualiti dari aspek akidah dan rohani. Namun, cabaran yang cuba menguggat akidah dengan menggunakan acuan yang bertopengkan kepada Islam ini adalah cabaran yang paling bahaya dan getir sekali.

Oleh itu, dalam mendepani cabaran umat islam dalam moden ini, kita perlulah memperbanyakan usaha, iltizam dan memperkasa ilmu agar menjadi benteng yang ampuh dalam kita menghadapi cabaran mendatang. Justeru, kita perlu memahami hakikat dunia moden hari ini secara bijak dan mendalam, berteraskan ilmu yang benar agar tidak terjerumus dan terperangkap dalam jahiliyyah bentuk moden yang dirintis musuh Islam (Muhamad Faiz Ismail, Ab. Halim Tamur dan Kamarul Azmi Jasmi, 2012)

Oleh itu, demi menyelamatkan kesucian akidah dan syariat terutama dalam kalangan generasi muda yang akan mewarisi masa hadapan Islam dan umatnya, kita hendaklah beriman kukuh dengan al-Quran yang telah ditanzilkan oleh Allah SWT dan al-Sunnah sebagai dua sumber utama yang pasti dapat menyelamatkan kehidupan sekaligus, memperingatkan kepada seluruh umat Islam agar menyedari bahawa fahaman Islam Liberal merupakan satu ancaman yang boleh menggugat akidah dan masa depan agama Islam itu sendiri.

BIBLIOGRAFI

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2015). Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Selangor. Terbitan: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Bahagian Pengurusan Fatwa. (BUKU)

2. Hartono Ahmad Jaiz. (2002). Bahaya Islam Liberal (Cetakan Kedua). Terbitan: Pusataka Al-Kautsar, Jakarta Timur (BUKU)

3. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Ketiga, Edisi Ketiga cetakan ke-7, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur (2002). Terbitan: Harian (Zulfadzli) Sdn.Bhd. (BUKU)

4. Haji Mohammad Ariffin Bin Ismail (t.t). Cabaran Akidah: Pemilkiran Islam Liberal. Terbitan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri ( BUKU)

5. Mohd Roslan Mohd Nor. (2011). Menangani Cabaran Umat Islam Era Moden. Jurnal Al-Tamadun, 6, 107-121. (JURNAL)

6. Shaharom TM Sulaiman. (2002). Wacana Islam liberal di Timur Tengah. (JURNAL)

7. Muhamad Faiz Ismail, Ab. Halim Tamuri dan Kamarul Azmi Jasmi. (2012). Pengaruh Elemen Islam Liberal Terhadap Aqidah Pelajar Sekolah Menengah Kebangssan: Satu Tinjaun Awal. International Conference on Research in Islamic and Arabic Language Education. p. 289-300, ISBN: 978- 967-10160-3-9.

8. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.( 2007). Cabaran-cabaran Semasa Umat Islam dan Penyelesaiannya Menurut Agama. Malaysian Journal of Social Administration Volume 4, 2007: 39-57

...

...(download the rest of the essay above)

About this essay:

This essay was submitted to us by a student in order to help you with your studies.

If you use part of this page in your own work, you need to provide a citation, as follows:

Essay Sauce, . Available from:< https://www.essaysauce.com/essays/business/2017-1-4-1483509670.php > [Accessed 07.03.21].