Home > Sample essays > Kempen Cegah Jenayah, Prevensi Penculikan Kanak-Kanak and Media Massa

Essay: Kempen Cegah Jenayah, Prevensi Penculikan Kanak-Kanak and Media Massa

Essay details and download:

  • Subject area(s): Sample essays
  • Reading time: 6 minutes
  • Price: Free download
  • Published: 1 April 2019*
  • Last Modified: 3 October 2024
  • File format: Text
  • Words: 1,524 (approx)
  • Number of pages: 7 (approx)

Text preview of this essay:

This page of the essay has 1,524 words.



Bismillahirrahmannirahim,

 Assalammualaikum warahmatullahhibawarakatuh, salam sejahtera, salam perpaduan dan salam Satu Malaysia.

Yang berusaha saudara pengacara majlis,

Yang Berhormat Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (Timbalan Ketua Menteri Sarawak),

Yang Dihormati Datuk Mazlan Mansor selaku Pesuruhjaya Polis Negeri Sarawak,

Tuan-tuan, puan-puan dan golongan belia yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul dalam majlis ini bagi meraikan majlis perasmian ‘Kempen Cegah Jenayah’ peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini.

Setinggi- tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih  saya tujukan kepada Yang berhormat Datuk Amar Abang Johari Tun Openg selaku Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Datuk Mazlan Mansor kerana sudi hadir dalam menjayakan ‘Kempen Cegah Jenayah’ peringkat negeri pada hari ini. Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih saya kepada tuan-tuan, puan-puan dan golongan belia sekalian kerana turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis pada hari ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pada era pemodenan ini, banyak berlakunya kes-kes jenayah yang dilaporkan di negara ini. Antara kes yang menjadi perbincangan hangat di negara ini ialah kes penyeludupan dadah, kes rompakan, rasuah dan tidak ketinggalan juga kes penculikan kanak-kanak. Sejak akhir- akhir ini, hampir setiap hari kita dengar di corong-corong radio dan kita lihat di dada akhbar tentang kes kehilangan kanak-kanak.  Hampir 10,000 kes kehilangan kanak-kanak yang telah direkodkan sejak lima tahun lalu. Statistik menunjukkan sebanyak 9,871 kes kehilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang telah direkodkan oleh pihak polis di seluruh negara antara tahun 2011 hingga November 2015(Malaymail Online, 2016). Kebanyakannya hasil daripada siasatan kanak-kanak yang dilaporkan ini  telah diculik. Kes ini dapat dikurangkan jika setiap individu dalam negara ini memainkan peranan masing-masing.

Hadirin sekalian,

Kerap kita disajikan di dada akhbar tentang jenayah yang sering berlaku. Bak kata pepatah malang tak berbau. Begitu juga dengan jenayah yang berlaku di luar jangkaan manusia tanpa diduga seperti penculikan yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun sama ada kanak-kanak perempuan atau lelaki. Mengapa mereka boleh hilang? Kenapa kanak-kanak ini boleh kena culik? Mana mak bapak dia masa itu? Itu sering menjadi persoalan dalam kalangan pembaca apabila jenayah sedemikian berlaku.

Hadirin yang hadir,

Suka saya hendak ingatkan kepada para ibu bapa, supaya lebih serius dalam memantau pergerakan anak-anak dengan sentiasa memberi peringatan kepada anak-anak agar sentiasa berhati-hati. Misalnya, jangan terlalu mesra dengan orang yang tidak dikenali dan sentiasa berada dekat dengan ibu bapa terutama apabila berada di tempat-tempat awam. Hal ini kerana, kes penculikan kanak-kanak sering dikaitkan dengan ibu bapa adalah punca utama di sebalik berlakunya kejadian yang tidak di undang. Antara perspektif yang sering dilontarkan oleh masyarakat kepada ibu bapa yang kehilangan anak-anak mereka ialah kurang perhatian keluarga, serta kecuaian ibu bapa. Oleh itu, tindakan daripada ibu bapa adalah salah satu langkah yang boleh mencegah jenayah seperti kes penculikan.

Selain itu, jenayah ini juga boleh dicegah dengan adanya penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan memberi hukuman yang setimpal kepada penjenayah. Hal ini boleh memperlihatkan bahawa kerajaan dan pihak berkuasa sangat memandang serius kes ini sekali gus, bersungguh-sungguh ingin mengurangkan jumlah jenayah penculikan kanak-kanak ini. Hal ini disebabkan oleh penetapan hukuman yang berat kepada penjenayah ini boleh memberi pengajaran dan peringatan kepada segelintir manusia yang berniat ingin melakukan jenayah ini  terutamanya penculikan kanak-kanak. Contohnya, Akta 302 Kanun Keseksaan perlu di kuat kuasa dengan lebih tegas terhadap penjenayah yang di dapati menculik dan membunuh kana-kanak.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

Masyarakat juga merupakan salah satu pihak yang harus memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar penculikan kanak-kanak di negara ini. Masyarakat perlulah bersikap lebih prihatin apabila menyaksikan sebarang kejadian yang mencurigakan seperti penculikan di kawasan berdekatan mereka. Mereka tidak boleh mementingkan diri sendiri dengan hanya melihat dan mengabaikan apa yang mereka lihat. Orang awam yang melihat sebarang kejadian penculikan perlu segera melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi memudahkan mereka menjalankan siasatan dan menjejaki penculik-penculik tersebut.

Selain itu, masyarakat perlu mewujudkan Rukun Tetangga dan mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman masing-masing. Hal ini demikian kerana penculik sering menyasarkan kegiatan penculikan mereka di kawasan yang sunyi, gelap, dan kawalan keselamatan yang longgar. Penculikan kanak-kanak juga dapat dibendung dengan pemasangan CCTV dan menjadi suatu bahan bukti jika berlakunya sebarang kes jenayah.

Hadirin sekalian,

Kes penculikan boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuklah di kawasan sekolah. Penculik menjadikan kanak-kanak sekolah sebagai sasaran kerana mereka masih belum matang dan mudah terpedaya dengan ajakan serta kata-kata orang yang lebih dewasa. Luar kawasan sekolah ini merupakan lokasi strategik untuk menculik kanak-kanak sama ada mereka dalam perjalanan ke sekolah atau pulang dari sekolah (Noor, 2016). Hal ini berlaku  apabila ibu bapa membiarkan kanak-kanak pergi ke sekolah bersendirian dan lewat mengambil anak mereka walaupun sudah tamat waktu persekolahan. Pihak sekolah sepatutnya menjadikan sekolah sebagai suatu kawasan selamat untuk para pelajar menunggu ibu bapa agar mereka tidak merayau-rayau di luar kawasan sekolah atau kawasan yang berpotensi untuk diculik. Jenayah penculikan ini juga dapat dibendung dengan mengadakan rondaan dan intipan secara kerap oleh pihak polis di kawasan-kawasan sekolah dan sekitarnya (Noor, 2016).

Hadirin yang dimuliakan,

Selain masyarakat awam, masyarakat setempat atau jiran tetangga turut menggalas tanggungjawab dalam memberikan kerjasama bagi membanteras masalah kes penculikan kanak-kanak di negara ini Peranan masyarakat kejiranan juga  penting dalam membantu  membanteras jenayah penculikan kanak-kanak. Kesedaran masyarakat kejiranan perlu ditingkatkan supaya jenayah ini dapat dibendung. Kita sebagai masyarakat kejiranan perlu ada inisiatif bagi mengatasi masalah ini. Justeru, kita sebagai kejiranan haruslah menubuhkan persatuan Rukun Tetangga di setiap kawasan perumahan. Usaha tuan-tuan dan puan-puan yang boleh dilakukan ialah membuat rondaan di sekitar kediaman anda. Kita haruslah bersepakat dalam membahagi tugas dalam membuat rondaan demi keselamatan orang ramai daripada jenayah penculikan. Malah jenayah lain juga dapat dielakkan seperti rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Selain itu, kita juga perlu peka dengan keadaan sekeliling. Jika terdapat sebarang kecurigaan yang berlaku di kediaman anda, tuan-tuan dan puan-puan haruslah melaporkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan gejala jenayah berlaku dapat dielakkan.  Oleh itu, penglibatan masyarakat kejiranan penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dan orang ramai juga terjamin. Kita perlu melaksanakan peranan kita dengan bersama-sama berganding bahu bagi membanteras gejala jenayah penculikan di negara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

Seterusnya, penggunaan media massa kini yang berleluasa dalam kalangan masyarakat. Media massa juga memainkan peranan dalam menangani masalah ini. Hal ini dapat dilihat apabila masyarakat dapat menggunakan media massa dalam menyebarkan maklumat tentang kesedaran membanteras jenayah dengan cepat dan tanpa ada jaringan. Di samping itu, kempen-kempen cegah jenayah dapat disebarkan melalui media massa. Hal ini dapat meningkatkan kesedaran dalam pelbagai lapisan masyarakat malah mereka lebih terdedah terhadap kegiatan jenayah penculikan kanak-kanak.

Selain itu, media massa dapat membantu dalam penyebaran maklumat penculikan melalui laman sosial. Contoh laman sosial yang dapat dijadikan medium penyebaran maklumat ialah  aplikasi Whatsapp, Facebook dan sebagainya. Maklumat penculikan perlu disebarkan supaya masyarakat dapat membantu pihak berkuasa dan keluarga mangsa dalam usaha mencari mangsa penculikan. Melalui kaedah ini, kita dapat memberi bantuan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan penculikan yang berlaku. Hal ini, dapat meringankan usaha dalam membendung masalah ini berleluasa dan usaha ini memberi impak yang sangat positif.

Hadirin yang dihormati,

Oleh itu, sebagai bangsa yang bijak kita tidak boleh menyalahgunakan teknologi media massa dengan menyebarkan maklumat-maklumat yang salah mengenai penculikan yang berlaku. Menurut akhbar Kosmo, penyebaran maklumat palsu yang kononnya terdapat kumpulan penculik yang menaiki van putih yang menunggu mangsa berhampiran sekolah dan perumahan (Zakariya, 2015). Hal ini telah menyebabkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat dan mengganggu urusan harian mereka kerana bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka. Oleh hal yang demikian, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan harus segera dibanteras.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

Selain daripada peranan ibu bapa, masyarakat kejiranan, masyarakat awam, media masa mahupun kerajaan, pihak berkuasa juga perlu melipatgandakan usaha mereka untuk menangani kes penculikan ini. Meskipun bilangan anggota polis di negara ini belum cukup bagi menjaga semua orang di negara ini, akan tetapi mereka boleh mengadakan program-program yang objektifnya tertumpu kepada menjaga keselamatan penduduk di negara ini terutamanya kanak-kanak. Menurut Utusan Online (2015), ‘Konsep payung’ yang pernah diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lama dahulu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kadar jenayah di sesetengah kawasan. Hal ini demikian kerana, penjenayah akan berasa bimbang untuk masuk ke kawasan yang diketahui memiliki kawalan ketat daripada pihak polis.

Hadirin yang dimuliakan,

Jenayah penculikan kanak-kanak ini bukanlah satu jenayah yang baru kita dengar dan kita ketahui. Hampir setiap tahun jumlah kes penculikan yang dilaporkan semakin meningkat. Terdapat pelbagai punca kes ini boleh berlaku misalnya sikap individu yang tidak bertanggungjawab, kelalaian ibu bapa dan sikap kanak-kanak yang tidak dilatih untuk meminta kebenaran apabila hendak keluar. Semua punca ini tidak hanya tertumpu pada satu pihak sahaja tetapi ia melibatkan semua pihak yang ada di negara ini. Oleh itu, kita tidak boleh terus-menerus menyalahkan sesuatu pihak yang menjadi punca masalah ini terus berkembang. Sebaliknya, kita harus sama-sama berganding bahu memikul tanggungjawab dan peranan sebagai citizen di negara ini bagi mengurangkan sekali gus membanteras kes penculikan kanak-kanak.

Akhir kata dari saya, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Oleh itu saya meminta kepada semua pihak supaya berhenti menyalahkan orang lain atas masalah yang berlaku sebaliknya mulakan tindakan atau usaha anda sebagai masyarakat dan rakyat yang prihatin terhadap keselamatan serta keamanan negara ini. Kerajaan dan pihak berkuasa tidak akan mampu menyelesaikan kes-kes jenayah di negara ini tanpa bantuan daripada orang ramai. Oleh itu, marilah kita sama-sama memegang slogan ‘Jenayah! Perlu Dibanteras’.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakhatu

About this essay:

If you use part of this page in your own work, you need to provide a citation, as follows:

Essay Sauce, Kempen Cegah Jenayah, Prevensi Penculikan Kanak-Kanak and Media Massa. Available from:<https://www.essaysauce.com/sample-essays/2016-11-18-1479510354/> [Accessed 19-04-26].

These Sample essays have been submitted to us by students in order to help you with your studies.

* This essay may have been previously published on EssaySauce.com and/or Essay.uk.com at an earlier date than indicated.