PEPERANGAN UDARA
Dewasa ini ancaman udara kini telah wujud dalam pelbagai spektrum, ianya selari dengan perkembangan arus teknologi yang semakin berkembang pesat mengikut peredaran zaman. Kajian yang dibuat telah menunjukkan bahawa pada masa kini dan masa akan datang, ancaman udara akan tertumpu kepada pesawat udara, penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV), peperangan elektronok (PE) smart ammunition dan stand off weapon. Dengan teknologi yang serba canggih ini adakah kita mampu untuk mempertahankan tanah air negara tercinta daripada dijajah oleh orang asing.
Dalam setiap peperangan konvensional, kekuatan udara (air power) merupakan salah satu faktor penentu samada sesebuah negara akan menang atau tewas dalam peperangan tersebut. Pihak musuh akan menggunakan kekuatan udara dengan sepenuhnya untuk mencapai matlamatnya. Tentera udara musuh akan melaksanakan serangan udara terhadap aset-aset Pertahanan Udara (PU) untuk mencapai keunggulan udara (air superiority). Ini diikuti dengan serangan udara terhadap aset-aset strategik yang merupakan pusat graviti negara dan seterusnya memberi bantuan udara kepada tentera daratnya untuk mencapai matlamat. Sebagai satu komponen pertahanan udara aktif, Artileri PU diperlukan untuk mempertahankan aset-aset strategik dan taktikal di sepanjang peperangan udara. Artileri PU haruslah mempunyai kekuatan yang kredibel untuk melaksanakan tugas dengan berkesan supaya aset-aset strategik dan taktikal dapat terus beroperasi tanpa gangguan. Pesawat udara TUDM akan digunakan sepenuhnya untuk memenangi peperangan udara. Namun terdapat beberapa kemungkinan bahawa pesawat udara TUDM tidak mampu melaksanakan pertahanan setempat (point defence). Masalah tersebut dapat diatasi dengan menggunakan Artileri PU. Dalam melaksanakan tugas-tugas bagi mempertahankan aset-aset strategik dan taktikal, Artileri PU juga dapat menyumbang dalam pencapaian keunggulan udara.
Sekiranya sesebuah negara ingin menyerang Malaysia, negara musuh akan melaksanakan peperangan udara dalam tiga fasa peperangan samada secara serentak atau berasingan seperti Perang Teluk tahun 1991 dan Perang Kosovo tahun 1999. Fasa pertama merupakan peperangan udara untuk menguasai dan mengawal ruang angkasa . Fasa yang kedua adalah merupakan serangan udara ke atas aset-aset strategik negara. Manakala fasa yang ketiga adalah bantuan udara bagi angkatan tempur . Setiap fasa peperangan udara akan dilaksanakan ialah Tentera udara musuh akan melaksanakan ’counter air campaign’ untuk mencapai lebih daripada keseimbangan udara (air parity) ketahap keunggulan udara (air superiority) dan jika boleh ke tahap kebitaraan udara (air supremacy) bertujuan untuk menguasai dan mengawal ruang angkasa Malaysia, samada secara menyeluruh atau sekurang-kurangnya di kawasan-kawasan tertentu atau pada masa-masa tertentu. Semasa Perang Teluk 1991 Angkatan Persekutuan telah mencapai keunggulan udara dalam masa dua hari dan kebitaraan udara dalam masa tujuh hari . Dalam fasa ini pesawat-pesawat udara musuh akan digunakan untuk memusnah pesawat-pesawat udara TUDM di pangkalan, radar-radar pengawasan, landasan terbang, depoh minyak, kemudahan senggaraan, bantuan infrastruktur, sistem kawal dan lapor serta sistem persenjataan Artileri PU. Tentera udara musuh mungkin akan memusnah persenjataan strategik ATM seperti MLRS sebagaimana Angkatan Persekutuan cuba memusnahkan misil SCUD Iraq semasa Perang Teluk pada tahun 1991 . Dengan menguasai dan mengawal ruang angkasa Malaysia, ia akan memudahkan angkatan tentera musuh untuk menjalankan operasi-operasi lain samada di udara, laut mahupun darat kerana tiada lagi tentangan dan gangguan yang boleh dilakukan oleh pesawat-pesawat udara TUDM dan sistem persenjataan Artileri PU. Seandainya ATM tidak dapat menghalang tentera udara musuh daripada mencapai kemenangan dalam fasa pertama peperangan udara ini, maka pertahanan Malaysia secara keseluruhannya tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Ini kerana kejayaan atau kegagalan dalam fasa peperangan udara akan menentukan darjah penguasaan ruang angkasa oleh TUDM dan jumlah pesawat udara yang mampu diperuntukkan bagi membantu pertahanan di laut dan darat. Sebaliknya pula fasa ini juga akan menentukan samada tentera udara musuh akan menguasai ruang angkasa Malaysia atau sebahagian kawasan tertentu dan juga jumlah pesawat udara yang akan diperuntukkan untuk membantu kemaraan tentera darat ke Malaysia. Fasa ini akan berterusan sehingga tentera udara musuh mencapai darjah keunggulan udara yang dikehendakinya.
Dalam fasa kedua pula, tentera udara musuh akan melaksanakan serangan strategik (strategic air campaign) untuk memusnahkan aset-aset strategik yang merupakan pusat graviti negara terdapat di Malaysia. Pusat graviti sesebuah negara boleh digambarkan sebagai sebuah bulatan yang mengandungi lima lingkaran yang mewakili lima elemen strategik. Lingkaran yang berada di tengah sekali mewakili kepimpinan iaitu pusat pemerintahan dan kawalan negara, ini diikuti dangan lingkaran kedua yang mewakili industri utama, lingkaran ketiga mewakili infrastruktur perhubungan dan pengangkutan, lingkaran keempat mewakili penduduk awam dan lingkaran di luar sekali mewakili angkatan tentera. Pusat graviti ini merupakan asas strategi dan kestabilan serta keupayaan dan potensi sesebuah negara untuk berperang. Malaysia mempunyai semua pusat graviti yang disebutkan tadi, dan kesemuanya perlu dilindungi daripada dimusnahkan terutamanya oleh serangan udara musuh.
Dalam fasa ketiga pula tentera udara musuh akan menumpukan serangan udara terhadap aset-aset strategik dan taktikal yang terdapat di medan tempur. Matlamat utama serangan udara dalam fasa ini adalah untuk memusnah, melumpuh atau melambatkan aturgerak aset-aset TDM dengan melancarkan ‘air interdiction’. Selain dari itu, tentera udara musuh juga akan melancarkan serangan ‘battlefield air interdiction’ ke atas aset-aset strategik dan taktikal yang diaturgerakkan seperti sistem persenjataan artileri medan, kawasan senggaraan, konsentrasi armor dan lain-lainnya yang akan mempengaruhi secara langsung kemaraan tentera darat musuh. Di samping itu pesawat udara musuh juga akan digunakan untuk memberi bantuan udara rapat (close air support) bagi membantu operasi dan kemaraan tentera darat mereka. Peninjauan udara juga akan dilakukan oleh pesawat udara dan pesawat tanpa pemandu (UAV – unmanned aerial vehicle) untuk mengenalpasti sasaran dan kekuatan serta pertahanan ATM. Pusat Graviti (centre of gravity) merupakan satu titik terpenting yang mudah diserang dan merupakan penentu bagi sesuatu peperangan. Clausewitz menyatakan pusat graviti merupakan ‘hub of all power and movement’ yang bermaksud pusat terpenting kepada semua kuasa dan pergerakan. Tanggungjawab terpenting bagi pemerintah-pemerintah adalah untuk mengenalpasti pusat graviti di dalam kawasannya . Oleh itu, ia perlu dipertahankan dengan sepenuhnya manakala musuh pula akan menumpukan kekuatannya bagi memusnahkan sasaran tersebut. Oleh yang demikian, segala usaha dan penggunaan sumber-sumber negara untuk melindungi pusat graviti yang merangkumi aset-aset strategik dan taktikal adalah tidaklah dianggap membazir. Secara amnya, terdapat sistem persenjataan yang boleh melindungi pusat-pusat graviti ini daripada serangan udara, iaitu pesawat pemintas dan sistem Persenjataan Pertahanan Udara Bumi (Ground Based Air Defence-GBAD). Kedua-dua sistem ini merupakan sistem yang ‘complimentary’ iaitu satu sistem yang tidak akan berkesan tanpa sistem yang satu lagi.
Aset strategik merupakan kawasan atau lokasi utama sesebuah negara yang akan dijadikan sebagai sasaran oleh musuh semasa peperangan. Kemusnahan aset ini akan melumpuhkan keupayaan fizikal dan psikologi sesebuah negara ketika mempertahankan dan menangkis serangan udara musuh . Aset strategik boleh dikategorikan kepada bahagian iaitu Instalasi Tentera. Instalasi ini akan dijadikan sebagai sasaran oleh pihak musuh kerana mempunyai keupayaan kuasa tempur untuk menentang dan menangkis sebarang ofensif udara mereka. Contoh aset ini seperti pangkalan pesawat pejuang, tapak pelancar misil dan radar, pangkalan tentera, depoh logistik dan seumpamanya. Instalasi dan Kawasan ‘ High Value’. ini mengandungi kawasan punca industri, ekonomi, perhubungan, janakuasa elektrik, pusat pemerintahan kerajaan dan sebagainya. Manakala Aset taktikal merupakan sasaran-sasaran yang terletak di zon-zon tempur ataupun di zon komunikasi yang boleh dijadikan sasaran semasa serangan pencegahan dan bantuan rapat udara. Kemusnahan sasaran-sasaran ini akan melumpuhkan keupayaan tempur dan bantuan logistik tentera darat negara lawan. Sebahagian sasaran-sasaran taktikal adalah Kawasan Konsentrasi Terup dan Instalasi Tempur dan Logistik dan lain lain lagi.
Semasa fasa ketiga ini peperangan udara berlaku, kempen udara dilaksanakan berdasarkan kepada aset taktikal dalam zon pertempuran. Pihak musuh akan melaksanakan pelan melawan elemen darat. Ia akan ditumpukan ke sasaran dalam kawasan zon pertempuran. Tujuan utama dalam kempen ini adalah memusnahkan, melumpuhkan atau melambatkan pergerakan deploimen tentera darat. Pesawat musuh akan melaksanakan ‘battlefield air interdiction’ (BAI) yang ditumpukan untuk memusnahkan aset yang berpontensi sebagai aset taktikal. Bantuan rapat udara (close air support) dan aktiviti pesawat peninjau tanpa pemandu adalah diramalkan menjadi pilihan pihak musuh dalam fasa ini. Serangan ini dilakukan ke atas angkatan manuver, aset-aset taktikal di medan pertempuran. Semua aset taktikal pada masa ini perlu diberi perlindungan pertahanan udara. Artileri PU perlu dilaksanakan kepada semua aset-aset taktikal dalam semua fasa peperangan darat. Pertempuran darat mestilah berjaya dalam menentukan angkatan darat beroperasi tanpa rintangan daripada gangguan serangan pesawat musuh . Di dalam fasa ini, sumber-sumber Artileri PU perlu diperuntukkan secara bijak bagi melindungi sasaran-sasaran penting ataupun untuk lain-lain tugas. Kepentingan titik rawan ataupun kawasan rawan adalah pelbagai di dalam fasa ini. Kawasan rawan ataupun titik rawan memerlukan perlindungan udara semasa peringkat persiapan. Oleh itu, ia memerlukan satu rancangan PU yang komprehensif dibuat di permulaan fasa dan segala sumber Artileri PU di peruntukkan kepada tugas-tugas bergantung kepada kepentingannya. Bagi mencapai tujuan ini, Artileri PU perlu di kawal secara berpusat di peringkat atasan. Kawasan-kawasan/titik-titik rawan ataupun aset bergerak selalunya terdedah kepada pelbagai serangan roket ataupun pengeboman. Begitu juga dengan penempatan infantri, tempat kumpul pasukan armor dan penempatan meriam yang terdedah kepada serangan udara. Oleh itu, semua kawasan/titik rawan perlu menempatkan peralatan penugasan PU pasif ataupun mengaturgerakkan Artileri PU. Pasukan serangan terutamanya armor merupakan aset-aset yang terdedah kepada serangan udara. Artileri juga akan melakukan tugas tembakan ‘ pre H Hour’ dan kemungkinan juga lokasi meriam boleh dikesan oleh pasukan musuh. Kawasan rawan dan titik rawan akan sentiasa berubah dengan kejayaan serangan. Oleh yang demikian ia memerlukan bantuan daripada Artileri PU. Maka rancangan PU yang komprehensif mesti dilakukan sebelum memulakan operasi bergantung kepada keupayaan senjata. Formasi-formasi yang terlibat dalam fasa mara memerlukan PU secara berterusan. Oleh itu sistem PU yang dipertanggungjawabkan untuk memberi PU perlu mempunyai keupayaan mobiliti yang tinggi. Teknik formasi bergerak secara lompat katak harus dirancangkan dan Artileri PU harus dikawal secara berasingan. Persenjataan PU harus dirancangkan untuk mempertahankan aset-aset TD. Sewaktu pengunduran, angkatan udara musuh akan menjadi lebih aktif bagi memperolehi keunggulan udara setempat yang baik. Pengunduran melibatkan pergerakan terup di kawasan yang luas dan jauh. Artileri PU diperlukan untuk mempertahankan pelbagai aset untuk menghasilkan pelbagai peranan dalam semua operasi berpandukan kepada komposisi tugasan dan keadaan yang mendesak. Persenjataan PU adalah sentiasa tidak mencukupi daripada keperluan. Oleh itu, sasaran yang dipertahankan harus diberi mengikut keutamaan sasaran .
Tidak dinafikan bahawa pesawat pejuang TUDM mampu memberi pertahanan setempat kepada aset-aset strategik dan taktikal tetapi keberkesanan tugas ini kurang terjamin. Pesawat udara musuh akan terbang pada aras rendah dan tidak dapat dikesan oleh radar jarak jauh TUDM. Walaupun TUDM akan memperolehi ‘Airborne Early Warning Aircraft’ (AWAC) untuk mengesan pesawat musuh di semua paras namun ianya mungkin tidak dapat diterbangkan oleh sebab cuaca buruk di pangkalan tempatan. Tanpa amaran serangan awal, maka pesawat pejuang TUDM tidak sempat diterbangkan bagi memintas pesawat musuh. Walaupun pesawat pejuang TUDM boleh ditugaskan sebagai ‘Combat Air Patrol’ (CAP) tetapi mereka mungkin tidak dapat diterbangkan oleh sebab cuaca buruk di pangkalan tempatan. Jika mereka dapat diterbangkan kemungkinan juga mereka dimusnahkan oleh MAS darat musuh. Contohnya di dalam situasi mempertahankan aset-aset strategik dan taktikal di Johor Bahru yang terdedah kepada MAS Singapura. Kedudukan Malaysia dengan jirannya seperti Singapura adalah bersebelahan dan dekat di mana masa tidak mencukupi bagi pesawat pejuang TUDM diterbangkan untuk memintas pesawat udara Singapura. Sebagai satu komponen pertahanan udara aktif, Artileri PU juga dapat membantu mencapai keunggulan udara dengan adanya Misil Aras Tinggi (MAT) dan MAS, Artileri PU mampu menghalang pesawat udara musuh memasuki ruang angkasa yang dipertahankan. Justeru Artileri PU dapat menguasai dan mengawal ruang angkasa dalam jarak berkesan MAT atau MAS. Konsep ‘kill the archer and not the arrow’ bermaksud memusnahkan pesawat udara dan bukannya persenjataan yang dilepaskan oleh pesawat udara tersebut. Jika dipraktikkan ia dapat mengurangkan inventori pesawat udara musuh. Dengan kekurangan inventori pesawat udara terutamanya pesawat pejuang, pesawat tangki minyak dan AWAC, kemampuan pesawat udara musuh dalam tugas pertahanan udara mereka akan berkurangan dan mungkin terjejas. Justeru pesawat pejuang TUDM dapat menyerang aset-aset pertahanan udara musuh dengan lebih mudah.
Pakar-pakar Artileri PU yang mengendalikan MAT, MAS dan persenjataan jarak dekat boleh memberi nasihat kepada juruterbang TUDM berkaitan persenjataan bumi ke udara pihak musuh dengan lebih terperinci dan tepat. TUDM boleh melaksanakan latihan simulasi bersama Artileri PU TD untuk meningkatkan prosedur dan taktik bagi mencapai keunggulan udara. Artileri PU dilengkapkan dengan MAT dan MAS dan dapat menguasai ruang angkasa negara. Dengan kordinasi dan komunikasi yang baik bersama TUDM dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Artileri PU dapat memberikan ruang angkasa yang selamat digunakan oleh pesawat udara pasukan sendiri dan daripada gangguan pesawat udara musuh. Radar TUDM adalah radar jenis pengawasan jarak jauh dan tidak mampu menjejak pesawat udara di aras rendah. Masalah ini dapat diatasi oleh radar Artileri PU yang mampu menjejak pesawat udara musuh di aras rendah. Maklumat jejakan pesawat udara musuh yang disampaikan kepada SOC akan membantu pesawat pejuang membuat pemintasan dan memusnahkan pesawat udara musuh. Dengan kejayaan memusnahkan pesawat udara musuh terutama pesawat pejuang akan mengurangkan inventori pesawat pejuang musuh dan mengurangkan kemampuan tentera udara musuh bagi mencapai keunggulan udara. Di samping itu juga ini akan mengurangkan kemampuan pesawat pejuang musuh untuk memintas pesawat udara TUDM yang membuat serangan terhadap aset-aset pertahanan udara musuh bagi mencapai keunggulan udara. Melalui analisis peperangan Teluk tahun 1991, peperangan udara pada masa akan datang dilaksanakan sama ada dalam satu fasa atau lebih, tertakluk kepada kekuatan tentera udara penyerang dibandingkan dengan tentera udara yang bertahan. Jika mampu, tentera penyerang akan melaksanakan peperangan udara dalam satu fasa sahaja untuk menjimatkan masa . jika tidak, pada lazimnya tentera udara penyerang akan melaksanakan peperangan udara dalam tiga fasa iaitu menguasai angkasa, pembedilan udara dan bantuan udara kepada angkatan tempur.
Untuk memenangi sesuatu peperangan, setiap angkatan tentera akan menggunakan kekuatan udara sepenuhnya bagi menguasai ruang angkasa supaya dapat membantu tentera daratnya mencapai matlamat. Menentang serangan udara musuh adalah tanggungjawab utama TUDM. Namun TUDM tidak mampu mempertahankan aset-aset strategik dan taktikal dengan sepenuhnya. Artileri PU diperlukan bagi mengatasi kekurangan yang terdapat pada TUDM. Artileri PU perlu dilengkapkan dengan persenjataan yang bersesuaian dan berkeupayaan untuk menangkis dan memusnahkan ancaman udara. Artileri PU haruslah berkemampuan memusnahkan pesawat udara musuh pada jarak jauh sebelum mereka melepaskan senjata dan juga supaya pesawat udara tersebut tidak kembali lagi. Kepentingan Pengurusan Ruang Angkasa juga perlu dititikberatkan bagi memastikan pesawat udara pasukan sendiri dapat menggunakan ruang angkasa dengan sepenuhnya bagi mencapai misi mereka, manakala pesawat udara musuh dapat disingkirkan. Penggunaan ruang angkasa haruslah dikordinasikan dengan sempurna antara kesemua pengguna. Artileri PU juga merupakan penyumbang bagi mencapai keunggulan udara. Jika Artileri PU dilengkapkan dengan sistem radar pasif, manfaatnya akan bertambah dalam memberi pertahanan udara kepada aset-aset strategik dan taktikal negara bagi mencapai keunggulan udara.
BIILIOGRAFI
1. Gulf Lesson One-The Value of Air Power.
2. Royal Air Force Air Power Doctrine.
3. Sistem Pertahanan Udara Nasional (SPUN).
4. Precis PUSARTI Cawagan PU.
5. Percis Cawangan PU-PUSARTI The Employments Of Artillery In All Phases Of War.