Tugasan ini adalah bertujuan untuk menilai kebolehan seseorang pelajar dalam memberikan takrifan berkaitan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah serta prinsip pegangannya dan kesilapan dalam memahami hadith-hadith yang berkaitan dengannya.
Di Asia Tenggara khususnya negara kita Malaysia, Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan fahaman atau aliran yang di pegang oleh majoriti umat Islam Malaysia. Ia adalah berdasarkan keputusan dan pengamalan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaaan dan para mufti serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia. Ini dipersetujui dalam Muzakarah khas yang telah dihadiri oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah berlangsung pada tarikh 5 Mei 1996. Dalam mesyuarat tersebut Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan bahawa:
“Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah, dan Akhlak.”
Pihak berkuasa dengan kerjasama institusi Islam di Malaysia telah menetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi bagi menjadi panduan dan pegangan hidup serta amalan masyarakat Islam di Malaysia. Ia jelas memberi implikasi positif yang berterusan dalam menyatupadukan umat Islam di Malaysia dan mengukuhkan kestabilan negara dan juga perpaduan.Oleh itu,penyebaran fahaman selain Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dikecam kerana ia merupakan usaha memecahbelahkan masyarakat Islam di Malaysia, merosak kestabilan dan keharmoian negara.
Para ulama terdahulu telah mengangkat istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan Riwayat hadis daripada Abdullah bin Amr r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Sesungguhnya telah berpecah Bani Israel kepada 72 kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada 73 kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali satu kelompok. Mereka bertanya, Siapakah mereka itu wahai Rasulullah s.a.w? Badinda s.a.w menjawab: Mereka adalah golongan yang berpegang pada ajaranku dan para sahabatku”.(Riwayat at-Tirmizi).
Berdasarkan hadis tersebut, barangsiapa yang berpegang teguh dengan petunjuk Allah daripada kitab al-Quran dan mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w dan ijma’ para sahabat tidak akan sesat selama-lamanya. Ahli Sunnah wal Jamaah merupakan golongan yang teguh berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah.
1.1 Definisi Ahli Sunnah wal Jamaah
Ahli Sunnah Wal Jamaah pada dasarnya berasal daripada perkataan “ahl as-Sunnah” dan “ahl al-Jamaah” yang bermaksud ahli atau golongan yang mengikut pegangan dan amalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat terutama sekali Khulafa Ar-Rasyidin yang telah didik oleh Rasulullah s.a.w berkaitan Akhlak, Aqidah, dan Syariah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah secara harfiahnya pula boleh didefinisikan sebagai kumpulan muslimin dan muslimat yang berpegang teguh dengan intipati ajaran yang termaktub di dalam kitab suci al Quran, Sunnah Rasulullah saw, hadis. Selain itu, Ahli Sunnah Wal Jamaah juga mengikut segala perkara yang dilakukan oleh sahabat-sahabat baginda Rasulullah s.a.w dan mereka menentang dan menolak perkara-perkara bida`ah yang boleh menjejaskan aqidah. Ahli Sunnah Wal Jamaah turut dikenali dengan Nama Al Jamaah, Ahli Sunnah, Ahlul Hadis dan As Salaful Soleh.
Sejajar dengan perkembangan Islam ke seluruh dunia, terdapat ramai tokoh cendekiawan Islam yang telah membuat kajian dan memberi definisi khusus terhadap Ahli Sunnah Wal Jammah berdasarkan pemahaman dan dapatan kajian mereka melalui kitab-kitab yang telah mereka jadikan rujukan. Antara tokoh tersebut adalah Ibnu Hazm menerusi kitabnya al-Fasl. Menurut beliau, Ahli Sunnah Wal Jamaah ini merupakan pendokong kebenaran (ahl al-haqq). Selain daripada Alhi Sunnah Wal Jamaah disebut sebagai pendokong bidaah(ahl al-bidaah).
Pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah termasuklah para sahabat Rasulullah s.a.w dan sesiapa yang mengikuti mereka seperti para ulama tabi’in , golongan ahli hadis, para fuqaha dari satu generasi hingga ke hari ini dan orang-orang yang menuruti jejak langkah mereka dari kalangan orang-orang awam di belahan timur dan barat dunia ini. (Ibn Hazm;1985,271;Johari Mat,1997;9).
Menurut Ibnu al-Jawzi pula berdasarkan takrifan beliau Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah ahl al-naql dan al-athar yang mengikuti hadiss-hadis Rasulullah s.a.w dan athar sahabatnya kerana mereka berada di jalan yang tidak berlaku perkara-perkara bidaah. Perkara-perkara bidaah berlaku selepas Rasulullah s.a.w dan sahabatnya(Engku Ahmad Zaki,2007;h. 135-136).
Imam al-Asy’ari mendefinisikan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang disebutnya sebagai “ahl al-haqq wa al-sunnah”(pengikut kebenaran dan Sunnah)berdasarkan kata-katanya seperti berikut:
“Kata-kata kami yang kami katakan dengannya dan agama kami yang mana kami beragama dengannya ialah berpegang dengan kitab yang diturunkan oleh Tuhan kami dan Sunnah nabi kami dan apa-apa yang telah diriwayatkan daripada para sahabat, para Tabiin dan ahli-ahli hadis”.
[Al-Asy’ari,1985,h.17]
Seterusnya adalah takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada pandangan cendekiawan tersohor Nusantara iaitu Hamka. Menurut Hamka, Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah orang yang mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w dan para ulama mujtahid yang mengeluarkan pendapat bebas sebagai hasil ijtihadnya. Orang-orang yang menganut mazhab Syafie, Hanafi, Maliki, dan Hambali di dalam soal furu’(cabang) ialah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sedangkan Syiah, Khawarij, dan Muktazilah tidak termasuk di dalamnya.
Demikian juga pendukung-pendukung bidaah yang menambah, apatah lagi mengurangi ajaran nabi Muhammad s.a.w tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Di dalam ilmu kalam, mazhab al-Asy’ari dan al-Maturidi ialah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah(Engku Ahmad Zaki,2007;h.135-136).
Berdasarkan keseluruhan definisi yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh cenderiawan Islam, dapat difahamkan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan yang berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para Sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka dinamakan al-Jamaah kerana bersatu di atas prinsip kebenaran dan tidak berpecah belah dalam agama, mereka bersatu mendokong al-haqq (kebenaran) yang dibawa oleh para imam kaum muslimin serta tidak sesekali menentangnya.
Menurut Dr.Johari Mat dalam Jurnal Usuluddin “Ahl al-sunnah wa al-Jamaah:Satu Pengenalan”,1997:
“Mereka sentiasa berpegang dengan keterangan wahyu dan beriltizam dengan Jamaah umat Islam dan pimpinan mereka. Ini kerana Sunnah menghendakkan mereka berada di dalam jamaah kecuali apabila dilihatnya terdapat kekufuran yang nyata dalam Jamaah tersebut. Pada ketika itu, ia perlu menjauhi jamaah dan pimpianan tersebut kerana takrif Jamaah merujuk kepada jamaah yang berada di atas jalan kebenaran”.
Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis Riwayat Ibnu Majah yang bermaksud :
“Allah s.w.t tidak menghimpunkan umatku di dalam perkara yang sesat selama-lamanya. Hendaklah kamu mengikuti al-sawad al-a’zam, “tangan”(pertolongan) Allah (akan diberikan kepada) kumpulan Jemaah (yang ramai), sesiapa yang menyendiri (atau memencilkan diri dari kumpulan yang ramai), maka dia menyendiri di dalam neraka”.
1.2 Sejarah Kemunculan Ahli Sunnah Wal Jamaah
Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w dan setelah zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin berakhir, ajaran Islam berkembang dengan luas dan pesat ke seluruh dunia sehingga bilangan umat Islam semakin bertambah. Oleh yang demikian, pertambahan umat Islam ini telah mendatangkan banyak ideologi baru dan dalam masa yang sama turut menimbulkan permasalahan apabila ada yang tidak mengikuti pegangan yang sewajarnya. Fahaman yang menyeleweng ini termasuklah yang dipelopori oleh golongan seperti Mu’tazilah, Syiah, Rafidhah, Khawarij, Murji’ah, dan banyak lagi fahaman yang menolak al-Quran dan al-Sunnah, mentafsirkan Islam berlandaskan akal semata-mata dan mengikut kehendak nafsu, mengkufurkan para sahabat, bersikap berlebih-lebihan.
Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah telah diasaskan oleh dua orang ulama ulung iaitu Syeikh Abu Hasan al-Ash'ari r.a dan juga Syeikh Abu Mansur al-Maturidi r.a. Mereka mengasaskan mazhab ini bagi menolak ajaran fahaman Mu’tazilah yang tidak selaras dengan al-Sunnah dan amat bertentangan dengan apa yang dipegang oleh jamaah kaum muslimin.
Syeikh Abu Hasan al-Asy'ari telah dilahirkan di Basrah sekitar tahun 260 Hijrah dan telah meninggal dunia juga di Basrah pada sekitar tahun 324 Hijrah. Menurut sejarah, pada awalnya beliau merupakan seorang yang berpegang kepada fahaman Mu'tazilah yang telah diajarkan oleh gurunya yang bernama al-Jubba'i. Beliau kemudiannya telah meninggalkan aliran Mu’tazilah itu setelah mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah berkaitan penyelewengan aliran Mu’tazilah yang jelas bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Terdapat beberapa kitab yang telah dikarang oleh Syeikh Abu Hasan al-Asy’ari antaranya ialah al-Ibanah fi Usuli'd-Diyanah, al-Mujaz, dan Maqalat al-Islamiyyin.
Berkat kesungguhan Syeikh Abu Hassan al-Asy’ari berdakwah menegakkan al-Quran dan as-Sunnah, ramai ulama besar telah turut sama menyebarkan aliran al-Asy'ari. Antara ulama-ulama yang menyebarkannya termasuklah Imam Abu Bakar al-Qaffal, Imam Hafiz al-Baihaqi, Abu Ishaq al-Isfara'ylni, al-Juwaini, guru pada Imam al-Ghazali, Imam al-Qusyairi, Imam 'Izzud-Din ibn 'Abdiss-Salam, Imam al-Baqillani, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali, dan Imam Fakhruz-Razi. Kesemua ulama tersohor ini merupakan pendokong aliran Ahli Sunnah sebagaimana yang diajar dan dihuraikan oleh Syeikh Abdul Hasan al-Asy'ari.
Syeikh Abu Mansur al-Maturidi r.a juga merupakan pengasas fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, dan kebiasaannya nama beliau digandingkan bersama Syeikh Abu Hasan al-Asy’ari. Syeikh Abu Mansur al-Maturidi telah dilahirkan di sebuah perkampungan bernama Maturid yang terletak di Samarqand, Asia Tengah. Beliau telah meninggal dunia di tempat yang sama sekitar tahun 333 Hijrah, iaitu sepuluh tahun setelah pemergian Syeikh Abu Hasan al-Asy'ari. Syeikh Abu Mansur al-Maturidi telah bertindak mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah terutama sekali dalam menghadapi pelbagai ajaran dan fahaman yang bercanggah dan batil pada zamannya, sama seperti yang dilakukan oleh Syeikh Abu Hasan al-Asy'ari pada zamannya.
2.0 Bincangkan kesilapan atau penyelewengan dalam menghuraikan maksud al-Jamaah dalam hadith-hadith berkaitan
Perkataan ‘Jemaah’ yang tersebut di dalam kebanyakan hadis baginda Rasulullah s.a.w merupakan suatu istilah khas yang membawa kepada pengertian yang khusus. Jemaah dari segi bahasa merujuk kepada jama'ah yang diambil dari perkataan arab "jama'a" artinya mengumpulkan sesuatu, iaitu dengan mendekatkan sebahagian dengan bahagian yang lain. Contohnya perkataan "jama'tuhu" (saya telah mengumpulkannya); "fajtama'a" (maka berkumpul). Perkataan tersebut lahir daripada "ijtima'" (perkumpulan), lawan perkataan "tafarruq" (perceraian) dan juga "furqah" (perpecahan). Jama'ah kelompok orang yang banyak; dan dikatakan juga sekumpulan manusia yang bergabung dan berkumpul berdasarkan satu tujuan. Jama'ah juga bermaksud golongan yang bersepakat dalam suatu masalah. (Lihat kamus bahasa: Lisaanul ‘Arab, Mukhtaraarush Shihaah dan al-Qaamuusul Muhiith: (bab: Jama'a).
Terdapat banyak hadis yang menyebut perkataan ‘Jemaah’ namun ada sesetengah golongan yang mentafsirkan maksudnya tanpa kajian khusus sehingga mengakibatkan kekeliruan demi kepentingan perkumpulan mereka sendiri.
Contoh Hadis pertama :
Dalam sebuah hadith diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Isra'il berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan. Dan sesungguhnya umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh dua golongan (firqah), semuanya masuk neraka, melainkan satu golongan, iaitu al-Jama'ah”.
Jika dilihat daripada hadis di atas, Rasulullah s.a.w telah menyampaikan kepada kita bahawa selepas kewafatan baginda s.a.w, umat Islam akan berpecah kepada beberapa golongan. Benarlah apa yang diungkapkan oleh baginda s.a.w tersebut. Pada zaman ini, dapat dilihat berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam yang telah mengakibatkan wujudnya pelbagai aliran, fahaman, Jemaah, puak, kumpulan atau golongan.
Menurut Rasulullah s.a.w turut hanya terdapat satu kumpulan sahaja daripada kumpulan-kumpulan yang berpecah-belah ini yang akan berjaya memasuki syurga, iaitu “al-Jamaah”. Apabila disebut al-Jamaah ada terdapat salah faham segelintir pihak yang merujuk kepada sesuatu kumpulan, organisasi atau persatuan, puak, firqah, parti, dan gerakan. Namun yang demikian, hendaklah difahami bahawa maksud “al-Jamaah” dalam hadis di ialah umat Islam seluruhnya yang bersatu di atas kebenaran menurut al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih berdasarkan amalan dan pemahaman para sahabat r.a atau generasi al-Salaf al-Soleh.
Kesilapan atau penyelewengan dalam menghuraikan maksud al-jamaah di dalam hadis tersebut berlaku di kalangan segelintir umat Islam kerana apabila disebut sahaja istilah “al-Jamaah” maka apa yang terlintas pada fikiran mereka bahwa “al-Jamaah” itu merujuk kepada sesuatu parti, kumpulan atau organisasi. Daripada pendekatan tersebut, mereka akan cuba mengaitkannya menilai kuantiti atau bilangan ahli yang menjadi pengikut atau pendukung kepada kumpulan tersebut.
Kesinambungan daripada penyelewengan dalam penghuraian perkataan al-Jamaah itu sendiri melahirkan pendapat di mana “apabila semakin ramai pengikut sesuatu golongan, parti atau kumpulan, maka golongan itulah yang sebenarnya yang paling benar”.
Menurut hadis di atas, perlu diketahui bahawa “al-Jamaah” yang dimaksudkan tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan faktor kuantitinya. Ianya kerana, sesiapa sahaja yang mengikut jalan kebenaran berlandaskan ajaran baginda Rasulullah s.a.w maka dia adalah termasuk dalam “al-Jamaah” yang diiktiraf oleh baginda s.a.w walaupun hanyalah berseorangan ataupun dengan pengikut yang kecil jumlahnya. Abdullah ibn Mas’ud r.a ada menjelaskan bahawa:
“Al-Jamaah adalah apa yang menepati kebenaran sekalipun engkau bersendirian”.
Selain itu, Al-Imam Abu Syamah As-Syafi’e r.a. ketika menghuraikan maksud al-Jamaah berkata :
“Acapkali datang perintah untuk berpegang teguh dengan al-Jamaah, maka yang dimaksudkan (dengan berpegang teguh kepada al-Jamaah ialah) senantiasa berpegang teguh dengan kebenaran dan para pengikutnya, walaupun orang yang berpegang teguh dengan kebenaran itu sedikit jumlahnya dan orang yang menyelisihinya banyak jumlahnya. Hal ini kerana kebenaran ialah ajaran yang diamalkan oleh al-Jamaah generasi pertama semenjak Nabi s.a.w dan para sahabatnya r.a, dan tidak dipertimbangkan banyaknya jumlah pengikut kebatilan yang ada setelah mereka..”
Contoh Hadis Kedua
Hadis yang seringkali berlakunya kesilapan dan penyelewengan dalam menghuraikan maksud al-Jamaah di dalam nya termasuklah hadis daripada bab Imamah dan Khilafah iaitu :
(Sesiapa di kalangan kamu, sedangkan kamu telah sepakat urusan kamu atas seorang lelaki (yakni melantik sebagai khalifah), dia ingin mematahkan tongkat kamu, atau menghancurkan jamaah kamu, maka bunuh lah dia).
Hadis ini diletak oleh ulama hadis dalam bab Imamah dan Khilafah, iaitu perihal bila dilantik dua orang khalifah dalam satu masa, maka perlantikan yang kedua hendaklah dibatalkan/diperangi. Ia bukanlah perlu dibunuh atau digulingkan secara kekerasan kerana ajaran Rasulullah s.a.w adalah bersifat kasih-sayang dan bertoleransi sejajar dengan hokum al-Quran dan al-Sunnah yang adil dalam segala perkara. Hadis tersebut lebih kepada kiasan supaya membatalkan khalifah kedua dan mengangkat khalifah pertama yang telah dilantik.
Contoh Hadis Ketiga
(Sesiapa yang keluar jamaah islam walaupun sejengkal maka dia telah melucutkan ikatan islam daripada tengkoknya.)
Hadis ini sering disalah tafsirkan bahawa sesiapa yang keluar daripada jamaah Islam yang disertainya sebagai contoh persatuan Islam maka boleh membatalkan aqidah. Sedangkan sebenarnya adalah merujuk kepada sesiapa yang keluar daripada jamaah umat islam dalam sebuah kerajaan Islam yang berdaulat dengan menentang ajaran dan hukum islam yang sedang dilaksanakan dalam negara tersebut, maka terbatallah aqidahnya
3.0 Terangkan beberapa prinsip pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
Aliran Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah mempunyai prinsip pegangan yang berbeza dengan aliran-aliran Mazhab yang lain. Berikut adalah huraian prinsip utama pegangan Mazhab ini.
Pertama : Mengutamakan dasar berpegang dengan apa-apa yang dinyatakan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan apa yang diriwayatkan oleh para Sahabat, para Tabiin, dan ahli hadis. Ia adalah pegangan yang berlandaskan ajaran Rasulullah s.a.w dan selamat daripada azab api neraka.
Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang kepada Al-Quran adalah Qalam Allah yang bersifat Qadim iaitu sedia ada. Al-Quran bukan makhluk iaitu bukan baharu. Dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, perlu berpegang teguh kepada enam rukun iman iaitu Beriman kepada Allah, Beriman Kepada Malaikat, Beriman Kepada Rasul,Beriman kepada Kitab, Beriman Kepada Hari Kiamat, dan Beriman kepada Qada’ dan Qadar.
Kedua : Meraikan kaedah-kaedah dalil akal/Aqli yang sejahtera dalam memahami nas-nas al-Quran dan al-Sunnah kerana Allah s.w.t menurunkan al-Quran kepada manusia yang berakal dan menetapkan taklifan syariat kepada orang-orang yang berakal.
Dalil akal hanya memperkukuh dalil-dalil syarak. Syarak diumpamakan sebagai cahaya matahari, manakala akal pula diumpamakan sebagai deria mata, sesuatu benda boleh dilihat apabila adanya gabungan antara cahaya matahari dan mata manusia yang sihat.
Ketiga : Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak mengkafirkan kaum muslimin yang tidak sependapat dengannya kecuali apabila muslimin itu melakukan perbuatan yang membatalkan keislamannya.
Orang yang melakukan dosa besar seperti meninggalkan solat fardunya kerana malas, berzina, minum arak dan mencuri tidak terkeluar daripada Islam. Mereka masih dikira orang mukmin selagi ada iman di dalam diri mereka melainkan pelakunya menghalalkan atas dirinya perbuatan tersebut. Walaubagaimanapun mereka dikira sebagai fasik dan tidak sempurna imannya kerana telah melakukan dosa besar dan perlu bertaubat dan kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah dengan melakukan segala suruhan Allah s.w.t dan menjauhi laranganNya.
Apabila orang yang melakukan dosa besar itu mati sebelum sempat bertaubat maka dia berada dalam kehendak Allah. Jika Allah berkehendak Dia akan mengampuninya, si pelaku tidak kekal di neraka. Allah s.w.t telah berfirman yang artinya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni dosa-dosa selainnya bagi siapa yang dikehendakinya ….” (An-Nisaa: 48)
Keempat : iman itu merupakan pembenaran di dalam hati terhadap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dari Tuhannya dan dilafazkan dengan lisan iaitu ucapan tauhid mengucap dua kalimah syahadah, dan dilakukan dengan perbuatan iaitu beramal dengan anggota badan.
Keimanan boleh bertambah dan berkurang seiring dengan amalan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Iman akan berkurang sekiranya melakukan perkara maksiat. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa iman itu bukan sekadar perkataan dan perbuatan semata-mata tanpa keyakinan. Tanpa keyakinan, ia sama seperti keimanan kaum munafiq. Iman juga bukan hanya ma’rifah iaitu mengetahui dan meyakini tanpa ikrar dan amal sepertimana orang kafir.
Orang yang telah melakukan dosa besar merupakan mukmin yang derhaka dan tidak menjadi kafir.Allah berfirman, yang artinya: “Dan mereka mengingkarinya karena kezaliman dan kesombongan (mereka), padahal hati-hati mereka meyakini kebenarannya, maka lihatlah kesudahan orang-orang yang berbuat kerusakan itu.” (An-Naml: 14)
Iman juga bukan sekadar keyakinan dalam hati dan melafazkan dengan perkataan tanpa beramal dengan perbuatan sepertimana Murji’ah; Allah menyebut amal perbuatan termasuk iman seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah mereka yang apabila ia disebut nama Allah tergetar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah imannya dan kepada Allahlah mereka bertawakal, (yaitu) orang-orang yang mendirikan shalat, dan yang menafkahkan apa-apa yang telah dikaruniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang mu’min yang sebenarnya ….” (Al-Anfaal: 2-4)
Firman ALLAH yang artinya: “Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan iman kalian.”(Al-Baqarah: 143)
4.0 Kesimpulan
Kesimpulan yang dapat diberi berdasarkan tugasan ini ialah, Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah merupakan fahaman yang bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan dan kesesatan. Rasulullah s.a.w menyifatkan Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang akan terselamat tatkala terjadinya perpecahan, perselisihan dan penyelewengan di tengah-tengah umat. Abdullah bin 'Amru r.a meriwayatkan bahawa baginda s.a.w bersabda,
Maksudnya: "Benar-Benar akan berlaku atas umatku apa yang telah berlaku ke atas Bani Isra'il. Bani Isra'il telah berpecah menj'adi tujuh puluh dua golongan (ithnatain wa sab'ina millatan) dan umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan (thalathin wa sab'in millatan) meleblhi mereka itu satu golongan (millah). Semua mereka itu dalam neraka melainkan satu golongan (illa millatan wahidatan).
Mereka bertanya Baginda, "Siapakah satu millah yang tidak masuk neraka itu?". Jawab Baginda, "(Mereka itu adalah golongan yang mengikut) perjalanan hidupku dan para sahabatku (ma ana 'alaihi wa ashabi)".
Jelas sekali maksud hadis di atas yang menyatakan golongan yang mengikut al-Quran dan al-Sunnah akan sentiasa berada di dalam jalan yang diredhai Allah s.w.t. Oleh itu, sebagai seorang orang Islam kita wajib menjaga keimanan kita supaya sentiasa mendapat Rahmat Allah dan terpelihara daripada kesesatan dan maksiat. Sebagai orang Islam, kita harus menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai idola yang wajib diikuti terutama sekali dalam memelihara Iman dan aqidah.