Dalam menelusuri perkembangan institusi hospital di Perak, suatu perkara penting yang perlu diambil perhatian dan ditekankan ialah tentang sejauh manakah peranan institusi hospital di Perak dalam memberikan manfaat kepada masyarakat Perak? dan bagaimanakah bentuk kolonialisme British terhadap fungsi hospital? Serta bagaimanakah kesan kolonialisme kesihatan British terhadap perkembangan ekonomi dan politik di Perak? Persoalan ini mungkin dapat menjadi panduan kepada para penulis sejarah dan sarjana tentang gambaran keadaan ‘kolonialisme kesihatan’ British di Perak yang bukan hanya dikaitkan dengan imperialisme terhadap kawalan pentadbiran Perak menerusi ketenteraan dan kawalan secara langsung terhadap kegiatan ekonomi Perak, bahkan juga menerusi fungsi dan peranan institusi hospital di Perak yang hanya dianggap oleh masyarakat tempatan sebagai suatu tempat yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan kebajikan sosial serta tidak dianggap sebagai suatu bentuk penjajahan. Satu perkara penting yang perlu ditekankan ialah mengenai kesan “kolonialisme kesihatan” terhadap fungsi sebenar pengenalan institusi hospital di Perak selepas beberapa tahun pentadbiran pihak kolonial British di Perak dan perbandingan dasar dalam fungsi hospital pada penghujung kurun ke-19 dan kurun ke-20.
Tempoh masa kurun ke-19 merupakan suatu titik kemuncak kepada peralihan imperialisme baru yang semestinya memberikan kesan ke atas tanah jajahan di bawah kuasa British dari segi pembangunan infrastruktur, penerokaan tanah dan pembinaan jalan raya yang akhirnya memberikan impak kepada masyarakat pribumi. Konsep “kolonialisme sosial” ini juga berfungsi seperti mana di tanah jajahan di bawah kawalan dan pentadbiran British, iaitu di Afrika dan India mahupun di bawah penjajahan kuasa besar lain seperti di Indonesia di bawah naungan pihak Belanda yang turut menjadikan keutamaan penyediaan institusi hospital pada ketika itu sebagai suatu keperluan asas dan tuntutan domestic kepada pihak kolonial dalam mengukuhkan jajahan di tanah jajahan yang baru. Malah, teori “miasma” dan “epidemik” yang menjadi suatu “mindset” kepada pihak barat tentang perkara yang paling digeruni dan ditakuti pada ketika itu mengenai penularan penyakit “pelik” dan “berbahaya” yang hanya muncul dan berlaku di kawasan Asia dan kawasan yang “beriklim tropika.”
Kemunculan pengenalan institusi hospital pada kurun ke-19 lebih menjurus kepada institusi kesihatan ketenteraan British dan tidak terbuka kepada pribumi tempatan di Perak. Meskipun penularan wabak penyakit seperti taun, malaria dan cacar bukan merupakan isu baru di Perak, namun wabak penyakit ini dilihat memainkan fungsi penting dalam pengekalan pihak kolonial British dan kelangsungan kolonialisme di Perak. Faktor “penyakit” berbahaya menjadi asas kepada pihak kolonial British untuk mengekalkan kolonialisme di Perak. Misalnya, pihak kolonial mengaitkan isu penularan penyakit sebagai suatu elemen penting yang menjadi kayu ukur dalam menilai ketamadunan masyarakat di Asia. Keadaan ini juga mendorong kepada suatu bentuk kolonialisme sosial dari segi pemikiran pihak British dalam menonjolkan ketertinggian ketamadunan Barat menerusi perbandingan amalan dan rutin harian masyarakat di Asia tentang penjagaan sanitasi dan kebersihan sehingga mempengaruhi penularan wabak penyakit berjangkit tersebut. Keadaan ini telah digambarkan dalam penulisan Manderson sebagai:
“… use of space and human interactions with and use of both the natural and built landscape reflected the cultural tensions of colonialism. Obsession with the hygiene and sanitation in the cities was part of this. There were good public health reasons to reduce risks of transmission of disease by ensuring potable water, clean food , and sanitation. But there were other cultural reasons for colonial insistence on sanitation, and for frustration at the inability of the state to maintain hygienic standards and the inculcate into the minds of others (immigrants and the ‘native’ with sites of cultural conflict. Human waste in the towns of colonies produced malodorous and visual assaults, sanitary transgression that challenged European authority of human behaviour and urban space.”
Pada tahun 1878, pengenalan hospital pertama yang diperkenalkan di Taiping merupakan suatu permulaan kepada pihak kolonial British dalam memperkenalkan perkhidmatan kesihatan kepada umum. Namun, pengenalan institusi hospital pada ketika itu masih lagi menyasarkan hanya kepada kelompok tertentu, iaitu kepada golongan buruh dan para pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di bawah pentadbiran British. Malah dasar British dalam menangani masalah kesihatan di Perak pada ketika itu tidak dilakukan secara menyeluruh dan hanya dilakukan di beberapa buah kawasan tertentu, seperti kawasan bandar dan kawasan kegiatan ekonomi. Insitusi hospital juga dilihat penting kepada British dari segi kesurvivalan pentadbiran mereka dan bukanlah dibina semata-mata untuk keperluan buruh dan masyarakat pribumi sahaja. Hal ini terbukti apabila pada tahun 1882, perbelanjaan sebanyak $ 129, 368,39 untuk pembinaan bangunan baru telah diperuntukkan yang merangkumi pembinaan hospital dan rumah orang Eropah di Teluk Anson, hospital dan beberapa buah rumah pegawai British di Kinta dan keperluan pembinaan hospital untuk merawat penyakit beri-beri serta rumah pegawai perubatan British (Surgeon dan Apothecary. Pada tahun 1880-an, penubuhan institusi hospital kian bertambah di beberapa kawasan di Perak, seperti hospital daerah, hospital kerajaan, hospital penjara, hospital sakit mental dan klinik. Walau bagaimanapun, pembinaan hospital masih bertumpu di kawasan bandar dan kawasan potensi ekonomi.
Dasar perubahan fungsi institusi hospital bermula pada tahun 1895 iaitu merupakan suatu fasa penyelarasan pentadbiran dengan menubuhkan gabungan Negeri-negeri Melayu yang mempunyai potensi ekonomi seperti Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan di bawah satu naungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Oleh itu, pembentukan NNMB telah memberikan satu peluang kepada pihak British dari segi meluaskan kekuasaan imperialisme ke atas Perak menerusi konsep sentralisasi terhadap pentadbiran Perak termasuklah menyelaraskan pentadbiran hospital di bawah satu kawalan yang berpusat di Singapura. Kesan penubuhan NNMB juga telah mengubah dasar institusi hospital secara beransur-ansur dengan membuka ruang perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pribumi secara umum. Walau bagaimanapun, secara dasarnya, corak pentadbiran kolonial british terhadap kesihatan selepas pembentukan NNMB telah berubah ke arah dasar yang lebih terbuka dan bertolak ansur dengan menitikberatkan keperluan sosial dan keutamaan masyarakat pribumi terhadap rawatan pencegahan penyakit, namun secara praktikal, pihak British masih lagi mengamalkan kolonialisme dari segi pentadbiran hospital dan peranan hospital yang masih lagi memberikan manfaat kepada pihak kolonial British terhadap pentadbiran di Perak. Hal ini turut dibincangkan oleh Hairuddin mengenai fungsi sebenar pengenalan hospital selepas NNMB iaitu “Medical services, however, remained under the management of the individual state; Because of this, there was little coordination, let alone uniformity, among the states’ medical administrations.” Keadaan ini menunjukkan bahawa meskipun fungsi pentadbiran kesihatan selepas pembentukan NNMB umumnya diselaraskan terhadap semua di pentadbiran negeri, namun hakikatnya fungsi hospital masih lagi kekal seperti sebelumnya. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa kolonialisme kesihatan terhadap fungsi hospital masih lagi berlaku dan berlanjutan sehingga kurun ke-20. Jika diteliti, dasar institusi hospital selepas NNMB lebih mengutamakan kebajikan masyarakat pribumi, namun secara praktikalnya, fungsi hospital masih lagi bertumpu di kawasan bandar-bandar sahaja. Pelaksanaan klinik-klinik luar dan dispensary bergerak dilihat hanya terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja dan tidak dilakukan secara menyeluruh meskipun kemudahan perkhidmatan kesihatan tersebut sememangnya diperuntukkan kepada masyarakat luar bandar seperti kawasan kampung yang jauh daripada hospital.